Wednesday 30 March 2011

Isu Bung menjadi hangat



Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin diminta mengemukakan statistik kemalangan melibatkan pemandu wanita bagi membuktikan pemanduan golongan tersebut amat berbahaya seperti didakwanya.

Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, Datin Fauziah Ramly berkata, ahli politik itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan demikian tanpa sebarang bukti.

"Tanpa bukti kukuh beliau tidak layak membuat dakwaan itu. Ia jelas menunjukkan beliau memperlekehkan keupayaan pemandu wanita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bung Moktar pada sidang Dewan Rakyat semalam mendakwa pemanduan kebanyakan wanita di negara ini amat berbahaya sehingga boleh mengundang kemalangan.

Fauziah menyangkal dakwaan itu dengan menegaskan, wanita memandu dengan berhati-hati tanpa mengikut perasaan berbanding golongan lelaki.
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah pula menyifatkan Bung Moktar sebagai seorang yang seksis berikutan kenyataannya itu.

"Beliau juga pernah mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan diskriminasi terhadap wanita di Parlimen pada 2007 dan kini beliau mengeluarkan kenyataan sama.
"Ini jelas menunjukkan beliau tidak menghormati wanita. Ia juga menunjukkan beliau tidak peka dengan kajian pemanduan di Malaysia yang mengatakan pemandu lelaki sering melanggar peraturan di jalan raya," ujar beliau.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan dakwaan bahawa pemanduan kebanyakan wanita di negara ini amat berbahaya dan boleh mengundang kemalangan sebagai bersifat seksis dan menunjukkan diskriminasi jantina.

Menurut beliau, dakwaan itu terlalu umum dan menyinggung perasaan pemandu wanita di Malaysia yang memandu secara cermat serta mengikut peraturan jalan raya.
Justeru, beliau akan mendapatkan statistik kemalangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat gambaran jelas mengenai kemalangan yang membabitkan pemandu wanita dan lelaki.

"Saya tidak bersetuju sama sekali dengan kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin di Parlimen semalam.

"Saya meminta agar sesiapa sahaja tidak kira daripada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang tidak mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan diskriminasi jantina pada masa depan," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat 35 delegasi Komite Perempuan Acheh Bangkit (KPAB) di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Asisten Ekonomi Acheh, Raden Sugiarti Raden Kunrachmat dan Ketua KPAB, Nurul Akmal Tengku Zainal Abidin.

Bung Moktar dalam sidang Dewan Rakyat semalam berkata, apabila golongan wanita memandu kereta, mereka tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan ia menyebabkan pemandu lain terdedah kepada risiko kemalangan.

Sumber : Utusan Malaysia

Adakah anda bersetuju denga kenyataan Bung Moktar ?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...