Friday 7 March 2014

Tidak timbul isu Suami ROGOL isteri

Mufti dan cendekiawan Islam membantah sebarang usaha untuk menghukum suami `merogol' isteri sendiri di bawah Kanun Keseksaan kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh merosakkan kesucian institusi perkahwinan.

Selain itu pelbagai pihak lain seperti pengamal undang-undang dan aktivis wanita menyifatkan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang beranggapan perbuatan suami `merogol' isteri patut dihukum, sebagai pandangan yang berasaskan perjuangan hak asasi manusia di Barat.

Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berkata, perbuatan suami yang melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri sama sekali tidak boleh dianggap sebagai merogol isteri dan tidak boleh dianggap kesalahan di dalam hukum Islam.

Beliau yang menganggap permintaan Suhakam itu sebagai menentang hukum Tuhan, turut berpendapat bahawa pandangan sedemikian adalah pengaruh dari Barat yang kini memberikan hak secara berlebihan kepada golongan wanita.

Katanya, masyarakat Barat berbuat demikian bagi membetulkan kesilapan silam dan perasaan bersalah golongan lelaki mereka yang satu ketika dulu beranggapan seseorang wanita itu bukan manusia.

``Dalam Islam, hubungan kelamin suami isteri ada batasan dan had-had tertentu umpamanya waktu isteri sedang dalam haid, suami tidak dibenarkan menyetubuhi isterinya.

``Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan cadangan Suhakam kerana seseorang suami berhak menyentuh isterinya manakala si isteri wajib taat. Jika isteri enggan, jatuhlah hukum nusyus dan tidak wajib ke atas suami memberi nafkah kepada isterinya,'' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman yang disiarkan pada muka depan Utusan Malaysia hari ini yang meminta kerajaan menjadikan tindakan suami `merogol' isteri sendiri sebagai satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana ia satu penderaan seks dan keganasan di dalam sesebuah perkahwinan.

Abu Talib berkata, Suhakam menganggap perbuatan suami yang melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri adalah melanggar hak asasi manusia.

Tambahnya, suami yang tidak memberi nafkah dari segi wang ringgit selama berbulan-bulan dan masih inginkan layanan seks daripada isterinya juga boleh dikatakan melanggar hak asasi isteri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...