Sunday 12 January 2014

Rahsia Tubuh seksi Cristiano Ronaldo

 Inginkah anda mendapat bentuk tubuh badan yang seksi dan diminati ramai wanita ?




Pernahkah anda terfikir mengenai bagaimana bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengekalkan bentuk tubuh yang menarik?

Apakah bentuk senaman yang telah dipraktikkan calon anugerah Ballon d’Or itu sewaktu sesi latihan bersama pasukannya dalam usaha pemain tersebut memastikan tahap kecergasannya berada pada kedudukan yang terbaik?

Ronaldo merupakan seorang yang obses terhadap rutin latihannya. Malah, bekas jurulatih, Alex Ferguson yang pernah membimbing kapten Portugal tersebut sewaktu mewakili Manchester United mengakui kegilaan Ronaldo yang sentiasa mahu dilihat menarik.

“Tiada yang secara kebetulan apabila bercakap mengenai tubuh yang cantik. Saya selalu melihat Ronaldo mengamalkan rutin senaman sepanjang dalam latihan,” katanya.

Selain keinginan dan motivasi yang tinggi, Ronaldo juga seorang yang sangat berdisiplin apabila persoalan penjagaan tubuh badan dibangkitkan.

Kata-kata petikan seperti tiada kesakitan, tiada keuntungan (No pain, no gain) sememangnya benar, tetapi bagi pemain bola sepak seperti Ronaldo mahu pun atlet terkemuka yang lain, mereka amat menyedari betapa pentingnya menetapkan rutin latihan dan mengikuti jadual tersebut tanpa wujud perasaan malas.

Bagaimanapun, perlu juga diingat tentang hakikat bahawa Ronaldo merupakan seorang atlet profesional dan dia juga dikelilingi oleh jurulatih kecergasan profesional serta pakar diet yang sentiasa memantau perkembangannya.

Sejak pemain itu tiba di Old Trafford, Ronaldo telah melalui transformasi pada bentuk tubuh badannya, daripada seorang budak lelaki yang hanya memiliki tubuh kurus kering kepada lelaki yang berotot. Bentuk tubuh yang dimilikinya pada hari ini, bukanlah berlaku secara kebetulan.

Ronaldo perlu mengikuti sesi latihan sekurang-kurangnya sebanyak lima kali seminggu di kem latihan Real Madrid dekat Valdebebas dan sesi tersebut turut disusun mengikut kesesuaian jadual perlawanan yang bakal Madrid harungi pada minggu berkenaan.

Secara purata, pemain itu menyertai latihan selama tiga hingga empat jam sehari dan disusuli dengan pelan diet yang amat ketat. Dalam satu program dokumentari yang pernah disiarkan pada 2010 mendedahkan, Ronaldo merupakan seorang pemain yang amat mementingkan waktu tidur yang cukup.

Di atas kepercayaannya itu, Ronaldo akan tidur awal pada sebelah malam, supaya dia juga boleh bangun awal. Media Britain pada 2009 pernah melaporkan mengenai Ronaldo yang melakukan senaman latih tubi iaitu sit-up sebanyak 3,000 kali yang menjadi rutinnya pada setiap hari.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...