Friday, 14 February 2014

Bicara seks secara terbuka



APABILA membicarakan soal seks secara terbuka, pasti masyarakat menolaknya. Seks dianggap sebagai satu topik memalukan serta tidak manis untuk diperkatakan terutamanya di hadapan anak-anak.

Ibu bapa khususnya masih lagi mempunyai perasaan segan dan tidak terbuka untuk membincangkan perkara ini walaupun hakikatnya pendidikan seks seawal usia harus diterapkan bagi mengelak berlakunya masalah sosial seperti yang dapat dilihat sekarang.

Mungkin ia berlaku kerana terikut dengan budaya dan adat ketimuran yang mana dalam sesebuah keluarga, tajuk perbincangan seperti seks dianggap tabu atau tidak boleh disebut langsung.

Ini secara tidak langsung akan menyebabkan anak-anak kurang pengetahuan tentang apa yang dimaksudkan dengan perhubungan seks antara lelaki dan wanita.

Lebih menyedihkan apabila terdapat banyak kes pembuangan bayi disebabkan seseorang remaja hamil akibat melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Lebih malang, ada remaja menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang baru dilahirkan.

Justeru, penerapan terhadap didikan seks pada awal usia mampu memelihara anak-anak daripada cuba melakukan perkara tersebut sekali gus menghindari penyakit kelamin seperti siflis, AIDS dan hepatitis, kata Pakar Psikologi Klinikal, Leong Huey Mei dalam satu bengkel bertajuk Talking about Taboo Topics.

“Ibu bapa sebenarnya memainkan peranan paling penting dalam menyediakan pengetahuan mengenai seks dan kaedah perancangan keluarga untuk anak-anak.

“Perkara paling sukar dalam memperkatakan topik mengenai seks dengan anak-anak ialah bagaimana untuk memulakan perbincangan tersebut. Tetapi sebagai ibu yang bertanggungjawab, ia adalah satu perkara yang wajib dilakukan.

“Memang kebiasaannya, si ibu pasti berasa segan pada mulanya, namun mereka harus memberanikan diri dan membuang perasaan malu demi kebaikan serta masa depan anak-anak. Jika perlu, selitkan gurauan bersahaja untuk mengatasi rasa segan itu,” kata Huey Mei yang telah banyak mengendalikan kes-kes sedemikian.

Tambah Huey Mei lagi, jika ibu bapa memilih untuk mendiamkan diri apabila anak-anak bertanya mengenai topik berkenaan, ia boleh memudaratkan keadaan kerana maklumat yang dikumpul sendiri oleh mereka tidak semestinya tepat dan boleh dipercayai.

“Malah, pelbagai kajian telah membuktikan bahawa gadis remaja yang mendapat pendidikan seks pada awal usia daripada ibu mereka, kebarangkalian mereka menangguhkan hubungan seks di luar perkahwinan adalah lebih tinggi,” ujarnya pada majlis anjuran Bayer Schering Pharma ini.

Sementara itu, Konsultan Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Ho Choon Moy, berkata, selain memperkatakan tentang seks, ibu juga harus menekankan topik mengenai kaedah perancangan keluarga yang efektif.

“Memberi maklumat yang tepat dan benar mengenai seks dan juga kaedah perancangan keluarga yang berkesan adalah satu-satunya cara membantu anak-anak muda menghindari perilaku seks yang boleh memudaratkan diri,” jelas Choon Moy yang juga merupakan Pakar Kesihatan Wanita.

Fatimah, ibu kepada empat anak perempuan, mengakui bahawa pada awalnya dia sendiri malu untuk berbincang mengenai topik seks dengan anak-anaknya. Namun, atas rasa tanggungjawab, dia sedia menghadapinya untuk kebaikan anak-anak sendiri.

“Waktu kecil dahulu, ibu jarang memperkatakan soal ini secara terbuka kepada saya dan adik-beradik lain. Oleh itu, perasaan malu itu memang wujud. Tetapi menyedari betapa pentingnya pendidikan seks diajar kepada anak-anak, saya akur dan mula membuka minda untuk berbincang,” jelas Fatimah.

Bagi salah seorang ibu yang menghadiri bengkel ini, Emy Hartini Abdul Hamid, 43, dia sudah mula faham bahawa pendidikan seks sebenarnya bukan satu perkara yang kotor untuk diperkatakan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk maklumat yang harus dibekalkan pada anak-anak demi menjamin masa depan mereka.

“Saya mempunyai seorang anak perempuan yang semakin meningkat remaja berusia 15 tahun dan dua anak lelaki berusia lima serta empat tahun. Setelah mengikuti bengkel ini, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul di bahu ibu begitu besar.

“Saya harus menyiapkan diri dengan segala ilmu untuk membincangkan perkara ini dengan mereka seperti cara berkomunikasi, kaedah penceritaan dan banyak lagi. Apa yang penting adalah saya tidak mahu mereka terjerumus ke arah masalah sosial yang semakin berleluasa sekarang seperti seks bebas, hamil luar nikah, menghidap penyakit kelamin dan sebagainya,” kata Emy.

Kesimpulannya, apa yang ditekankan menerusi bengkel ini ialah ibu bapa tidak harus memandang ringan mengenai isu pendidikan seks pada awal usia kerana banyak manfaat yang diperoleh berbanding keburukan jika anak-anak mengetahuinya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...