Wednesday, 18 May 2011

Pakej Lawatan Berhantu


Suara rintihan pada lewat tengah malam, hembusan nafas di tengkuk yang meremangkan bulu roma dan perasaan seperti diperhatikan seseorang, antara pengalaman seram ditempuhi anggota polis bertugas di lokap yang pernah menempatkan Mona Fandey bersama suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Hussin, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.


Suasana menyeramkan itu berlaku selepas ketiga-tiga mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2 November 2001 selepas didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 13 Julai 1993.

Selepas hampir 10 tahun kejadian menyeramkan itu ‘disimpan’ anggota balai berkenaan, baru sekarang ia didedahkan kepada umum dan orang ramai boleh menempuh sendiri pengalaman aneh itu apabila lokap berkenaan bakal dijadikan destinasi pelancongan dalam ‘Pakej Lawatan Berhantu’ yang dipromosikan Tourism Malaysia Pahang.

Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Amran Abdul Rahman berkata, cadangan memasukkan lokap berkenaan dalam Pakej Lawatan Berhantu disuarakan sendiri polis pada mesyuarat bersama agensi kerajaan di Raub baru-baru ini, sebagai satu lagi tarikan ke daerah berkenaan, selain keindahan semula jadi dan bangunan zaman kolonial yang masih terpelihara.


Menurutnya, lawatan berhantu terlebih dulu popular di luar negara sebelum fenomena itu menular ke Malaysia lebih lima tahun lalu sehingga banyak pengamal paranormal menawarkan aktiviti sedemikian.

Kes pembunuhan yang dilakukan Mona Fandey bersama suami dan pembantunya 18 tahun dulu adalah yang paling ngeri dalam sejarah kes jenayah negara dan masih diingati sehingga kini.

" Beberapa anggota polis mendakwa terdengar suara orang bercakap di lokap yang pernah menempatkan Mona Fandey bersama suaminya serta pembantunya, tetapi apabila diperiksa didapati tiada siapa di situ".

" Dalam kejadian lain, ada kakitangan balai itu mendakwa turut disakat apabila tengkuk mereka tiba-tiba terasa haba daripada hembusan nafas dan 'benda' itu dikatakan mengikut mereka berjalan ketika meronda di lokap berkenaan".

Beliau berkata ,kejadian pelik dan menyeramkan di lokap berkenaan yang kini tidak digunakan lagi masih berlarutan menyebabkan pihaknya berminat mempromosi premis itu sebagai produk pelancongan. SUMBER : Harian Metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...