Kalau dulu generasi muda menggunakan kaedah surat-menyurat untuk berbalas mesej cinta, Kini anak muda lebih gemar mencari kekasih melalui laman sosial saja. Baik atau buruk, diri sendiri yang buat keputusan
Tidak dinafikan, hubungan percintaan itu sudah menjadi lumrah dalam hidup terutama dalam kalangan remaja. Anak muda masa kini memang gemar menjadikan gejala bercinta atau berpasangan pada usia muda asalkan hati puas dan diisi dengan kehadiran pasangan sejati. Imbas kembali zaman dulu, bukan mudah berhubung ketika bercinta. Paling mudah sekalipun, hanya dengan menggunakan kaedah berbalas surat untuk bertanya khabar. Disebabkan itu juga, agak lama tempoh diambil untuk mengenal budi pekerti seseorang.
Namun kini, semuanya di hujung jari bahkan anak muda masa kini makin bijak kendalikan laman sosial milik mereka. Hubungan percintaan terjalin bukan melalui perkenalan di depan mata tapi hanya menggunakan media sosial seperti Facebook sebagai langkah permulaan. Kalau difikirkan dari segi positif, tindakan ini memang bagus kerana ia dapat menghubungkan dua insan yang mempunyai ciri-ciri, impian dan kriteria yang sepadan untuk dijadikan pasangan.
Dengar memang tampak mudah dan cepat tapi disebabkan banyak tipu helah yang boleh dicipta, agak sukar untuk memberikan komitmen yang tinggi dalam hubungan itu lebih-lebih golongan remaja yang kurang cerdik dalam membuat keputusan.
Dalam erti kata lain, pasangan di alam maya ini bukan semua yang berkelakuan jujur dan boleh dipercayai bahkan ada juga yang senyap-senyap pasang perangkap pada mereka yang tidak berhati-hati.
Ada baiknya
Memang menarik dan seronok jika terjumpa kekasih hati di laman sosial. Apa yang menariknya, si dia bersifat misteri justeru memerlukan kita berusaha untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Bukan itu saja, kecanggihan teknologi membolehkan kita berhubung dengannya hampir setiap masa tanpa mengira kesibukan tugas ataupun hal lain kerana hubungan cara ini tidak memerlukan perjumpaan secara bersemuka sebaliknya hanya virtual saja.
Bukan itu saja, anak muda yang mempunyai minat sama tidak perlu bersusah payah untuk membelanjakan wang demi berjumpa dengan pasangan alam maya. Ini kerana tempoh berkenalan hanya bergantung pada Internet saja. Paling menarik, generasi muda yang biasanya pemalu boleh menangkis sifat itu dengan mengamalkan teknik berkenalan alaf baru ini bahkan terdapat kebarangkalian untuk mengenal pasangan yang tinggal jauh dari tanah air.
Bagi remaja yang berkenalan dengan pasangan di negeri lain, bukan mudah untuk berjumpa kerana ia memakan perbelanjaan selain perlu memilih waktu sesuai untuk berjumpa. Dengan adanya laman sosial, hari-hari boleh berhubung atas talian sakan tanpa perlu risaukan kos dan perbelanjaan. Siapa kata cinta laman sosial kurang menarik?
Pelajar universiti swasta, Muhd Afiq, 19, berpendapat percintaan di laman sosial ini memang seronok. Katanya, di laman sosial seperti Facebook dan juga WeChat, boleh bertemu ramai calon kekasih dan buat pilihan yang betul kerana tiada batasan.
“Memang mudah untuk mengenali seseorang dengan ringkas di laman sosial. Semuanya berlaku dengan cepat dan tiada batasan dalam tempoh perkenalan. Sepanjang pengalaman saya, memang ramai gadis yang tidak sombong bahkan kami seronok berbalas mesej di atas talian tidak kira siang dan malam.
“Saya juga punyai kekasih hati hasil pertemuan di laman sosial. Tidak seperti yang orang lain katakan, kalau kita memang berniat baik terhadap seseorang, memang si dia akan berbuat demikian pada kita juga. Justeru, sekarang ini saya rasa selesa mencari pasangan di laman sosial saja,” katanya.
Keburukan
Bukan semua yang kelihatan baik itu baik kerana apa yang jarang dilihat itulah yang menjadi keburukan. Contohnya, cinta laman sosial mungkin kelihatan menarik dan mudah tapi pada masa yang sama, tiada cara lain untuk mengetahui motif sebenar pasangan kita. Mungkin dia hanya berniat mempermainkan kita atau sekadar hanya suka-suka. Kita sendiri tiada cara untuk mendapatkan jawapan yang pasti. Jujur macam mana sekalipun, di laman sosial macam-macam hal boleh berlaku.
Selain itu, pertemuan di laman sosial ini boleh dikaitkan dengan sikap anak muda yang terdesak dan agresif. Mana tidaknya, jika seseorang itu ditolak cintanya, tidak mustahil dia akan bertindak ganas iaitu mengancam pasangan ataupun melontarkan kata-kata keji melalui statusnya di Facebook.
Berdasarkan kajian penyelidik di Universiti Perubatan Carolina Selatan, Dr Ajif Narib menyatakan bahawa gejala kemurungan seperti mood yang tidak baik, hilang motivasi dan selera makan ialah perkara biasa yang dialami berikutan putus cinta. Bukan itu saja, sesetengah remaja terutamanya wanita akan bertindak luar biasa seperti tindakan membunuh diri dan melukakan anggota badan.
Lagipun, percintaan melalui laman sosial ini mempunyai beberapa kemusykilan, antaranya cinta yang dilafazkan itu tidak bererti apa-apa bahkan ada kebaikan remaja yang dipergunakan untuk kepentingan peribadi. Contohnya, pasangan akan kerap kali meminta tambah nilai untuk telefon pintar sehingga mencecah ratusan ringgit sepanjang tempoh perkenalan. Akhirnya, si dia rasa bosan dan buat keputusan memutuskan hubungan selamanya.
Pengalaman berkenaan dikongsi Siti Delaila, gadis berusia 21 tahun berhubung percintaan di laman sosial.
Katanya, rata-rata lelaki yang mendekatinya di alam maya kebiasaannya bersikap terburu-buru dan tiada adab.
“Lelaki yang ingin mengenal saya kebiasaannya bersikap terdesak bahkan seperti terburu-buru mengajak saya keluar walaupun tidak sampai 30 minit berkenalan.
“Sepanjang pengalaman saya, kebanyakan lelaki di laman sosial ini tidak bersikap jujur bahkan ada yang sudah memiliki kekasih hati tapi masih ligat ingin bercinta dengan orang lain. Justeru, saya banyak mengambil langkah berhati-hati seperti mengenal dulu budi pekerti seseorang sebelum boleh terima pelawaannya untuk keluar bersama.
“Kalau nak bercinta di laman sosial ini memang perlu berhati-hati kerana kita tak tahu niat sebenar seseorang itu sama ada dia ikhlas atau berniat buruk terhadap kita. Tapi apa yang pasti kita perlu pandai kawal tindakan sekiranya dikecewakan. Bukan apa, banyak kes anak muda cederakan diri sendiri malahan sudah berani memasang niat ingin bunuh diri,” katanya.
Kes yang meningkat
Statistik menunjukkan 34 peratus dari jumlah pengguna Facebook di Malaysia adalah dalam kalangan generasi muda yang berumur antara 18 tahun hingga 24 tahun. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh laman web ‘Pingdom’ pula, Malaysia menduduki tangga ke-11 pengguna Facebook teramai pada tahun 2010. Ini menunjukkan laman sosial seperti Facebook kini makin mendapat tempat di hati setiap anak muda khususnya untuk berhibur atau bercinta.
Dalam pada itu, jumlah kematian berpunca dari kes bunuh diri mencecah hampir sejuta orang setiap tahun seperti kenyataan yang direkodkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Di Malaysia, laporan yang dikeluarkan Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan sejak tahun 2007 hingga 2009 menunjukkan sebanyak 731 kes bunuh diri didaftarkan. Ia berkaitan dengan kekecewaan dalam percintaan sama ada di dunia nyata ataupun di alam maya seperti di Facebook. Ini menunjukkan ramai sekali remaja yang tidak berfikir dengan matang dan rasional sebaliknya hanya mengikut kehendak nafsu dan perasaan.
Manakala data yang dipetik dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam usaha membantu menangani kes ini, mendakwa terdapat sekurang-kurangnya tujuh kes bunuh diri sehari di Malaysia disebabkan kekecewaan dalam percintaan.
Terima kasih Harian metro !
No comments:
Post a Comment