Friday, 7 March 2014

Inai jadi HARAM sekiranya.....

Inai sudah tidak asing lagi dalam budaya rakyat Malaysia terutama ketika majlis perkahwinan. Tetapi bagi orang Melayu adakah penggunaannya haram atau sunat ?



Sudah menjadi lumrah dan budaya buat pengantin baru untuk memakai inai di jari menjelangnya hari pernikahan. Bagi pengantin perempuan, pemakaian inai ini disifatkan sebagai satu cara berhias buat bakal suami selain kelihatan lebih manis.

Generasi dulu juga percaya warna merah yang mewarnai kuku dan jari tangan serta kaki mampu membangkitkan lagi seri dan pesona kepada pengantin. Malah, pemakaian inai sebegini adalah disunatkan dan amat digalakkan di sisi agama Islam.

Bukan setakat pengantin saja, malah ada juga golongan gadis dan remaja yang mengenakan inai untuk berhias dan mengikut gaya terkini. Tapi bukanlah mengenakan inai di setiap jari saja tapi sebaliknya mereka mengenakan pelbagai corak untuk kelihatan lebih bergaya.

Bagaimanapun, ada pula beberapa pihak dan individu yang memandai mengeluarkan kenyataan kononnya mengenakan inai itu haram dan tidak baik. Bukan kerana tidak sah untuk dibawa beribadat, tapi khabarnya ia seperti mengikut budaya Hindu dan bertujuan menarik perhatian.

Sejauh mana kebenarannya? Betul ke ia tidak boleh digunakan walaupun untuk pasangan pengantin?

Terdapat beberapa larangan berkaitan pemakaian inai yang harus dielakkan. Antaranya, kadar pemakaian inai di kedua-dua belah tangan dan kaki bagi wanita adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali saja. Tidak bolehlah mengenakan inai hingga ke bahagian lengan atau ke atas seolah-olah anda mengenakan tatu lukisan badan.

Kemudian, warna inai juga tidak bersifat kekal seperti tatu dan bebas daripada bahan tidak halal. Pastikan jika anda membeli produk inai di pasaran, ia halal dan bukannya jenis campuran pelbagai kandungan termasuk dakwat kekal.

Biarpun sebenarnya pemakaian inai digalakkan pada hujung jari saja namun tidak menjadi kesalahan kepada wanita tersebut jika mahu membuat corak atau ukiran pada tangan atau kaki. Kerana ia berbeza jika mahu berhias seperti kebanyakan pengantin baru hari ini.

Bagaimanapun, hanya corak yang melambangkan daun dan tumbuh-tumbuhan dibenarkan. Sementara corak menyerupai haiwan, dewa atau gambaran yang bertentangan dengan syarat adalah dilarang kerana bimbang ia membawa maksud lain yang boleh mengundang persepsi orang lain.

Golongan wanita yang hendak berihram haji atau mengerjakan umrah turut disunatkan memakai inai sama ada mereka sudah bersuami atau pun tidak.

Ringkasnya, memakai inai di kalangan wanita bukanlah satu kesalahan. Setiap wanita yang masih belum berkahwin mahupun yang berkahwin diharuskan memakainya selagi ia tidak menimbulkan fitnah kepada yang belum berkahwin.

Bagaimanapun apabila disentuh mengenai persoalan jika seseorang lelaki itu mengenakan inai, ia kembali kepada fatwa dan nasihat golongan bijak pandai yang mana mengatakan ia sesuatu yang tidak patut.

Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 lalu pernah memutuskan pemakaian inai bagi lelaki tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan untuk tujuan perubatan.

Kiranya, kalau seseorang lelaki itu mengenakan inai ketika ingin bersanding dan meraikan hari perkahwinannya, ia dikecualikan namun masih ada syarat dan batasannya. Namun, bagi lelaki yang mengenakan inai untuk tujuan perubatan, itu tidak menjadi masalah.

Justeru jangan mudah menjatuhkan hukuman. Inai itu tidak haram sebaliknya ia diharuskan. Cuma jangan pula kita pakai berlebihan sampai orang yang melihat pula menyifatkannya kelakar.

No comments:

Post a Comment