Tuesday 29 March 2011

Usah Scan bayi berlebih-lebih

Bahaya scan bayi terlampau kerap

USAH berkecil hati jika doktor tidak mengibas kandungan, walaupun anda memintanya. Imbasan atau ultrasound ke atas kandungan sebenarnya, bukan perkara 'wajib' ketika melakukan pemeriksaan bulanan dan, anda bukan kategori ibu tidak prihatin andai tidak melakukannya.

Kajian terhadap tikus bunting mendapati pendedahan terhadap sinar imbasan menyebabkan kecacatan pada embrio haiwan berkenaan. Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan imbasan memudaratkan ibu dan kandungan.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, berhati-hatilah dalam melakukannya. Jika pemeriksaan asas mengesahkan ibu dan bayi selamat (tanpa ujian ultrasound), tidak perlulah ke klinik lain pula hanya kerana si ibu mahu melihat anak dikandung.

Pensyarah dan Pakar Obstektrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Shuhaila Ahmad, berkata sejak imbasan diperkenalkan 40 tahun dulu, ia memberi banyak manfaat kepada dunia perubatan.

Bermula dengan alat imbasan biasa, yang melihat struktur luaran bayi hinggalah teknologi terkini, empat dimensi yang lebih kompleks hingga boleh ‘meneropong’ ke salur darah bayi.

“Dua fungsi imbasan diperlukan dalam perbidanan ialah mengesan struktur bayi dan mengukur tumbesaran janin. Struktur bayi menjurus kepada perkembangan organ seperti otak, jantung serta tulangnya. Tumbesaran janin boleh dikatakan memuaskan bila mana ukuran yang diambil mengikuti carta tumbesaran yang sepatutnya. Kalau bahagian jantungnya tidak normal, selalunya ia boleh dikesan menerusi imbasan.
“Imbasan juga membolehkan doktor memastikan janin berada dalam ruang sihat serta selamat menerusi kedudukan uri di segmen atas rahim, atau kandungan air ketuban mencukupi atau sebaliknya,” katanya.

Ultrasound adalah gelombang bunyi dengan frekuensi yang sangat tinggi, tidak kedengaran oleh telinga manusia. Ia boleh digunakan untuk memeriksa struktur di bahagian dalam tubuh dengan menghasilkan bayangan pemantulan dari kedalaman berlainan. Dalam bidang obstetrik dan ginekologi, mesin ultrasound dirangka khusus untuk bidang perbidanan dan sakit puan, bagi menjamin keselamatan ke atas janin yang diimbas.


Imbasan normal memakan masa kurang 10 minit tetapi imbasan lebih terperinci membabitkan pengesanan kelainan pada janin mungkin mengambil masa lebih lama. Pengesanan aliran darah janin menggunakan ‘colour doppler’ yang membabitkan gelombang lebih tinggi tidak digalakkan memakan masa terlalu lama.


Walaupun tiada bukti jelas, disarankan setiap imbasan tidak melebihi satu jam. Jika perlu menambah masa atau dilakukan berulang kali, digalakkan berehat sebentar atau atur temu janji lain.

Dr Shuhaila menyatakan seseorang ibu yang sihat dan tidak mempunyai sejarah melahirkan anak cacat atau memiliki keturunan cacat dalam keluarga, memadai untuk melakukan imbasan tiga kali saja sepanjang sembilan bulan kehamilan iaitu pada trimester pertama (kehamilan tiga bulan pertama), kedua (kandungan 4-6 bulan) dan ketiga (5-9 bulan).

“Tidak ada alasan ‘seronok-seronok’ untuk melihat bayi dalam kandungan,” tegasnya yang 14 tahun berpengalaman dalam bidang itu dan mengkhusus dalam jurusan perubatan ‘fetomaternal’ iaitu kes berkaitan ibu hamil atau janin berisiko tinggi.

Banyak berurusan dengan kes ibu dan kandungan berisiko, Dr Shuhaila melakukan imbasan bagi memberi penerangan lebih jelas keadaan janin kepada si ibu.

“Menerusi pandangan mata, menggunakan imbasan terutama imbasan tiga dimensi (3D), seseorang ibu dapat melihat jelas keadaan kandungannya, khususnya janin tidak sempurna atau cacat. Bila melihat keadaannya kandungan luar biasa, selalunya ibu akan lebih bersedia menerimanya, berbanding ibu yang langsung tidak tahu keadaan anaknya yang cacat sekali gus dapat mengelakkan ibu daripada rasa kecewa atau murung selepas melahirkan,” katanya.


Jika imbasan membantu mengenal jantina dan segelintir ibu tidak mahukan jantina anak itu, biarpun kandungan sihat, bolehkah pengguguran dilakukan?

Tegas Dr Shuhaila, ia bukan dasar perubatan melakukan pengguguran disebabkan jantina bayi yang tidak diingini.

“Pengguguran tidak mudah dilakukan dan selalunya ia tidak berlaku atas kehendak si ibu semata-mata. Dalam banyak keadaan, si ibu perlu menjalani rawatan kaunseling. Jika pengguguran mahu dilakukan, pihak hospital mengambil kira banyak pandangan termasuk pakar perbidanan dan kanak-kanak.

“Jika janin cacat, bagaimana keadaan kecacatan itu? Teruk atau tidak. Jika kandungan itu membawa risiko kematian kepada ibu, ia mungkin dibolehkan. Tetapi proses itu memakan masa kerana doktor perlu mengambil contoh kromosom janin dan sebagainya. Tetapi selalunya jarang sekali ibu sanggup menggugurkan kandungan dan dalam banyak kes, si ibu rela dengan keadaan anak yang bakal dilahirkan,” katanya.

INFO: Imbasan

# Pertama kali dilakukan dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan (sehingga kandungan bersuai 12 minggu).

Ia paling penting untuk menentukan tarikh tepat bersalin dan sama ada kandungan itu wujud, berada dalam rahim, satu janin atau lebih (kembar). Tarikh jangka bersalin tidak begitu tepat dan boleh jadi lebih rumit ditentukan andai ibu melakukan imbasan pertama pada usia kandungan melebihi 20 minggu.

# Kandungan berusia 18 minggu hingga 20 minggu.
Imbasan dalam tempoh ini membantu doktor mengesan struktur bayi. Keadaan bayi ditentukan normal atau tidak dengan melihat hampir semua bahagian bayi seperti tulang belakang, otak, kepala dan jantung.



# Kandungan melepasi 32 minggu.
Imbasan terakhir ini membolehkan doktor mengesan kedudukan uri dan memastikan si ibu dapat bersalin dalam keadaan normal atau melalui cara pembedahan.


# Imbasan melalui abdomen (transabdominal) perlu menggunakan gel. Gel menghalang pembentukan udara antara perut dan alat untuk memastikan imej lebih jelas dilihat. Sebagai persediaan, untuk trimester pertama, ibu perlu memastikan pundi kencing penuh sebelum melakukan imbasan. Disebabkan ketika tempoh berkenaan, rahim masih kecil dan berada di belakang pundi kencing, justeru ia akan nampak lebih jelas bila di imbas.

# Imbasan melalui faraj (transvaginal) diperlukan jika imbasan melalui abdomen tidak mampu melihat dengan jelas janin dalam kandungan. Imbasan ini biasanya dilakukan pada tempoh awal kehamilan saja.


                                                                SUMBER : BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...